Ringkasan Istiadat Pertabalan

"Agama membentuk budaya, sesiapa sahaja yang mengamalkan budaya maka dengan sendirinya akan kembali kepada agama” 

Ungkapan oleh Pengasas Agung Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Almarhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad menekankan betapa pentingnya budaya kepada kehidupan masyarakat kita. Syed Muhammad Naquib dan Mohd Taib Osman serta sarjana lainnya menegaskan bahawa, Agama Islam adalah asas yang menegakkan binaan budaya dan tamadun Melayu. Pegangan atau ajaran ilmu tauhid serta amalan agama islam menentukan pula keadaan dan rupa bentuk budaya dan tamadunnya (Shariful Kamarudin, 2005). Menurut Muhammad ‘Uthman El Muhammady pula, di dalam kertas kerjanya 'Kesatuan dan Perpaduan Umat Islam dari Perspektif Sejarah di Alam Melayu' mengatakan bahawa; Kehidupan Melayu yang bersatu padu dan mengikut tertib dan peraturan mengikut bimbingan agama dan adat istiadat Melayu yang terpandu oleh Islam menimbulkan kesatuan dan perpaduan yang membolehkan lahirnya kerajaan-kerajaan Melayu Islam yang mendokong tersebarnya cara hidup Islam dan agamanya. Berserta dengan adanya para pemimpin yang mempunyai kewenangan dan syarat-syarat kepemimpinan seperti Sultan-Sultan Melaka sebagai Sultan Mansor Syah dan Muzaffar Syah, juga ‘Ala’ al-Din Ri’ayat Syah, dan Bendahara seperti Tun Perak, juga Sultan Aceh seperti Iskandar Muda Mahkota Alam antaranya, Islam menjadi kuat di Dunia Melayu ini” dan pertalian budaya dan agama ini sesuai dengan ungkapan ini;

“Adat bersendikan syarak 
Syarak bersendi Kitabullah 
Syarak mengata, adat memakai 
Syarak mendaki, adat menurun 
Adat dan syarak, bagi aur dengan tebing, bagai isi dengan kuku” 

Usaha Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia mengadakan istiadat pertabalan ini adalah untuk mengembalikan kegemilangan budaya bangsa Melayu yang berpandukan agama, khususnya Seni Silat yang sangat sinonim dengan sejarah kegemilangan negeri Melaka yang mempunyai benteng pertahanan yang kuat melalui kepimpinan panglima Hang Tuah dan sahabatnya.


Istiadat Pertabalan Guru Utama Seni Silat Cekak 

Bersempena menyambut perayaan Jubli Emas dan ulangtahun kelahiran Seni Silat Cekak yang ke 50 tahun, pada 1hb Muharam 1435 hijrah bersamaan 5 haribulan November 2013, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia menyempurnakan istiadat pertabalan Guru Utama Silat Cekak yang ke-3 dengan matlamat untuk mengembalikan semula kedudukan ilmu Seni Silat, budaya warisan datuk nenek moyang kita ditempatnya yang mulia iaitu di astaka khas umpama istana serta mengembalikan kemuliaan bangsa yang mempunyai ketinggian nilai ilmu yang berlandaskan kepada ilmu tauhid.

Maka telah sampai masanya ilmu budaya warisan melayu ini diangkat martabatnya dan dimuliakan dengan sewajarnya sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pejuang-pejuang dan guru-guru terdahulu yang membawa amanah perjuangan menyatukan melayu muslim yang kini telah mendapat nikmat keamanan dan kesejahteraan. Peristiwa ini adalah untuk mengambarkan betapa tingginya nilai budaya ini yang diteliti dengan penuh istiadat bersama alat kebesaran mengikut tertib pertabalan kesultanan kerajaan Melayu.

Istiadat pertabalan ini menzahirkan matlamat PSSCM untuk menghidupkan, memperkenalkan serta mempersebatikan pusaka bangsa yang merupakan seni kebudayaan keturunan yang hampir dilupakan, menanamkan perasaan cinta dan kasih akan hak warisan mutlak Bangsa Melayu, menanamkan semangat bahawa kitalah yang bertanggungjawab menjaga diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Seterusnya memberi pengertian tujuan dan matlamat bersilat, juga tujuan hidup serta matlamat sebenar hidup ini. Ia sebagai manfestasi kepada usaha membasmi dan menentang tahyul dan khurafat yang tidak sesuai dengan iktikad Islam serta menanamkan semangat dan roh Islam sebagai pegangan bagi menghadapi apa jua keaadaan.

Istiadat pertabalan ini diadakan bukan untuk menunjuk-nunjuk atau dengan tujuan bermegah-megah atau untuk merasa hebat, tetapi ingin memberi contoh kepada generasi yang akan datang bahawa kitalah yang bertanggungjawab untuk memuliakan dan memartabatkan bangsa kita sendiri sebagai bangsa Melayu Muslim yang menjadi khalifah di muka bumi ini. Kitalah yang sewajarnya menghargai dan memberi nilai yang tinggi kepada ilmu warisan datuk nenek kita ini.

Sesungguhnya, dengan berlangsungnya Istiadat Pertabalan ini dapatlah tanggapan-tanggapan serong dan tohmahan yang dilemparkan kepada ilmu budaya Seni Silat dibersihkan dengan bukti-bukti nyata. Pertabalan ini bukan sahaja mengangkat dan memartabatkan kedudukan Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia sebagai penyambung amanah perjuangan, malahan sekaligus membuktikan kepada masyarakat tentang perkembangan ilmu yang berlangsung dalam tempoh 50 tahun perjalanan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia.

Diharapkan fikiran masyarakat terbuka dan dapat melihat apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, seterusnya melahirkan rasa cinta mereka terhadap seni pusaka warisan Melayu terutamanya Silat Cekak. Pada keseluhurannya, Istiadat Pertabalan ini diharap dapat memerdekakan pemikiran setiap anak bangsa Melayu supaya mereka bangkit dari lena yang panjang, sejak dijajah 500 tahun dahulu.


"Lahirnya Cekak kerana kesedaran, 
Bukan bermusuh sebagai tujuan, 
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan, 
Mensesuaikan dengan makna kemerdekaan" 
- Pantun Silat Cekak karangan Almarhum Ustaz Hj Hanafi bin Hj Ahmad