Sejarah

Pada 5 Ramadhan 1385 Hijrah, bersamaan 28 Disember 1965, bertempat di rumah Shafie Darus, Batu 4 3/4, Jalan Gunung Alor Setar, Kedah; Silat Cekak berjaya dilahirkan kembali menerusi Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah yang ditubuhkan pada Februari 1964.

Pada akhir tahun 1970, Seni Silat Cekak telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, ia berkembang dari satu sudut yang kecil di kedai makan milik En. Hussain b. Ahmad, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. Seterusnya, beberapa kelas telah dibuka, antaranya di Kampung Baru. Kegiatannya di Kuala Lumpur telah berjalan di bawah naungan seksi Seni Silat, Persatuan Bawean Putra, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Pada 19 Ogos 1971, Silat Cekak telah diperkenalkan dan dikembangkan oleh YM AlMarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad melalui Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia dan pada tahun 1975 pula, melalui Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Pada tahun yang sama, buat pertama kalinya lambang rasmi Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah diperkenalkan dan telah digunakan sehingga kini.

Perkembangan awal Seni Silat Cekak Malaysia telah diterajui oleh YM AlMarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad sehinggalah beliau kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986 selepas 21 tahun mengembangkan Seni Silat Cekak Malaysia ke seluruh negara.

Bak kata pepatah Melayu 'patah tumbuh hilang berganti', tanggungjawab tersebut telah diteruskan oleh YM Tuan Haji Ishak bin Itam selaku Guru Utama dan Presiden PSSCM pada 21 September 1986 sehingga 3 Jun 2009 dan seterusnya oleh Y.Bhg. Datuk Haji Maideen Kadir Shah sehingga kini.


Salasilah Guru Silat Cekak

Panglima Ismail
Panglima Kanan Negeri Kedah di zaman Kesultanan Ahmad Tajuddin II.

Panglima Tok Rashid
Panglima Kanan Negeri Kedah telah menerima Silat Cekak dari wasilah Panglima Ismail.

Yahya Said (Pemegang Amanah)
Menerima Silat Cekak dari Panglima Tok Rashid sebagai "Pemegang Amanah" selama 40 tahun dari 1925 hingga 1965.

Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad
Pengasas PSSCM dan sebagai Guru Utama merangkap Presiden selama 21 tahun dari 1965 hingga 13 Ogos 1986.

Tuan Haji Ishak bin Itam
Guru Utama & Presiden PSSCM selama 23 tahun mulai dari 21 September 1986 hingga 3 Jun 2009.

Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah
Guru Utama & Presiden PSSCM mulai dari 3 Jun 2009 hingga sekarang.